RSS

Kesaksian Gurmit Singh a.k.a Phua Chu Kang

Shalom........... (^_^) 
       Ramai orang pernah menonton aksi lawaknya sebagai Phua Chu Kang, dari siri television PCK Pte. Ltd. yang telah mula disiarkan di Singapura pada tahun 1997 sehinggalah 2007. Siri ini dengan cepat menjadi drama komedi nombor satu di Singapura. Pada kemuncaknya pada tahun 1999, siri ini ditonton oleh 500,000 penonton pada setiap minggu.
Kebanyakan orang sudah kenal watak Phua Chu Kang, kontraktor Cina yang banyak cakap dan kiasu (takut kalah) dengan tahi lalat besar di pipinya dan kasut but kuning yang selalu dipakainya. Tetapi tidak semua orang kenal pelakon di sebalik watak Phua Chu Kang. Oleh kerana lakonannya yang begitu menyakinkan, ramai orang tidak sedar pelakon watak Phua Chu Kang ini ialah Gurmit Singh yang bapanya keturunan Punjabi dan emaknya kacukan Cina-Jepun.

Berikut adalah kesaksian Gurmit Singh bagaimana dia mengenal Yesus dalam hidupnya...

        Pada usia mudanya, Gurmit seorang yang cepat naik darah. Apabila kakak-kakaknya menerima Yesus pada usia lanjut remaja mereka, Gurmit menjadi marah sekali sehingga menempeleng mereka. Walaupun begitu, kakak-kakaknya terus mendoakan untuk dia.
Pada tahun 1984, ketika Gurmit hanya berusia 19 tahun, emaknya telah disahkan mengidap barah peringkat yang sangat lanjut (Tahap Empat). Itulah waktu yang paling pedih dalam hidupnya. Dia sangat menyayangi emaknya. "Aku tak tahan melihat emakku terlantar saja di katil dengan mulutnya penuh dengan bengkak dan dalam kesakitan selalu. Dulunya dia selalu menjadi pengasuh anak-anak dan membuat kerja-kerja sampingan untuk menambahkan pendapatan. Dia seorang yang aktif sebelum penyakit itu menguasainya."
Pada tahun berikutnya, kakak-kakaknya membawa Gurmit mengikuti rapat umum Kristian yang dikendalikan oleh penginjil terkemuka, Reinhard Bonke di Stadium Nasional Singapura. Dia ikut kerana dia ingin mengolok-olokkan orang-orang Kristian. Dia ingin mendapat lebih bahan semasa rapat umum itu untuk memperlekehkan kakak-kakaknya dan iman mereka.
      "Sebaliknya aku sangat tergerak sehingga menitis air mata dan aku dapat merasa kehadiran Tuhan yang begitu kuat sehingga bulu roma di lenganku pun naik. Aku menerima Yesus pada rapat umum itu," kata Gurmit.
"Pada malam itu, 13 November 1985, di stadium itu dengan 60,000 orang di sekelilingku, aku berasa seperti sedang berseorangan diri, dan aku mendengar suatu suara yang kecil memanggil kepadaku. Aku berlutut lalu berdoa dan menyerahkan hidupku kepada Tuhan," tambahnya lagi. Sejak waktu itu, hidup Gurmit berubah sama sekali.
Doktor pakar yang merawat ibunya memberikan ibunya tempoh hanya enam bulan lagi untuk hidup. "Kesihatan ibuku merosot dengan cepat. Nyata sekali bahawa kami akan kehilangannya," kata Gurmit.
Dia berdoa kepada Tuhan agar menyembuhkan ibunya. "Kedua ibubapaku sangat sayang anak-anak kecil. Aku ingin ibuku dapat hidup cukup lama untuk melihat cucu-cucunya, memeluk mereka dan bermain dengan mereka. Aku berdoa untuk teman wanita, dan tak lama dari itu Tuhan telah memberikan aku seorang teman wanita, yang kemudiannya menjadi isteriku," kata Gurmit sambil merujuk kepada isterinya yang berbangsa Cina, Melissa. "Kami mendapat dua anak yang comel, Gabrielle dan Elliot."
Emak Gurmit hidup lagi untuk 16 tahun, dan Gurmit segera memberikan kesyukuran kepada Tuhan yang telah mendengar doanya atas mukjizat kesembuhan ibunya.
"Doktor pakar itupun menjadi hairan apabila dia melakukan satu lagi ujian ke atas ibuku," kata Gurmit. "Aku masih boleh mengingat raut wajah doktor itu ketika dia memberitahu kami, 'Gurmit, apapun yang kamu cuba di luar hospital ini, teruskanlah itu. Kami telah memeriksa ibumu untuk mengesan sel-sel kanser yang merebak, tetapi sel-sel itu telah lenyap sama sekali!' "
"Dalam tahun 2000, apabila ibu mengidap kembali barah, aku mula-mulanya marah kepada Tuhan sehinggalah aku mendengar satu suara yang kecil dan tenang mengatakan kepadaku, 'Gurmit, kau ingat lagi doamu 16 tahun yang lalu? Aku telah mengizinkan ibumu hidup sehingga kini supaya dia dapat menikmati waktu bersama cucu-cucunya.' 
Akhirnya, Gurmit mengerti dan mengucap syukur kerana Tuhan telah memanjangkan usia ibunya selama 16 tahun itu. Kata Gurmit lagi, "Tuhan telah banyak memberkatiku. Aku memiliki isteri yang jelita dan anak-anak yang baik. Aku mahu mengembalikan kesyukuran dengan mendirikan rumahtangga Kristian yang akan melayani Tuhan dalam setiap aspek kehidupan kami."

P/s: wahh... dulu slalu tgk crita PCK depan TV sambil makan dinner hahaha... tersedak2 makan sambil ketawa dibuatnya hahhaha......Tuhan bekerja dengan cara yang berbeza di dalam hidup setiap umatNya.. tetapi satu yang pasti ialah rencana Tuhan untuk kita semua adalah rencana terbaik dan terindah lebih daripada yang kita mampu fikirkan... saya pernah mengalaminya.. bagaimana pula dengan anda??? God bless everybody (^_^) Peace!!

(Sumber: http://domba2domba.blogspot.com)

0 comments:

Post a Comment